Monday, July 17, 2017

Keberkatanku

KEBERKATANKU
Itulah maksud kepada namaku, seperti yang disampaikan oleh Mama dan Baba. “Tapi kenapa Aimi je?”, rajukku berulang kali. “Kawan Aimi yang lain sekurang kurangnya ada la Nurul ke, Siti ke. Kakteh pun ada Nurul!”. Sering aku berangan, tulis nama di atas buku latihan dengan nama Nurul Aimi. Di selimut punya ku dan kakteh, aku tulis Nurul Hana untuk kakakku, dan Nurul Aimi buat aku. 
Lucu bila dikenang. Namun itulah dia, jiwa kanak kanak jika tak dilayan. Ingin jadi sama seperti kawan kawan lain. Tak ingin jadi yang janggal. Cemburu pada yang tak pasti. Syukur perasaan itu hilang setelah beranjak dewasa. Sesuai dengan kematangan, dan keputusan diri untuk berfikir dan cari kebaikan dalam setiap aspek.
TUAH
Selain namaku yang berberkat, Mama juga sering melatah, “Oh anak aku bertuah”. Mungkin berkat dan tuah itu, menjadi doa seharian seorang ibu, dimakbulkan Allah.
Walau tidak setiap masa bertuah, tapi aku dapat rasakan tuahnya. Kadang kala berfikir juga, Allah terlalu pemurah dengan diriku. Bukan tidak bersyukur, tetapi risau. Risau sekiranya aku terlalu selesa, dan susah menerima sekiranya Allah menarik kembali tuah ini satu persatu. Nauzubillah. 
BUKAN YANG KU MAHU
Aku bukan seorang yang cemerlang. Bukan pelajar gemilang, apatah lagi terbilang. Sekadar lulus, dan cukup makan. Sebagai pegawai perubatan pula, aku bersyukur sekiranya dapat menjalankan tugas dengan baik. Setiap kesalahan boleh menjadi asbab mautnya pesakit.
Jujur, aku tak betah bekerja di kalangan pesakit yang di ambang hidup dan mati. Fikiranku tak sepantas yang aku mahukan. Tanganku tak selincah yang ku harapkan. Aku kecewa dengan diriku yang selalu menghampakan semua.
AKU MEMILIH BAHAGIA
Akhirnya, aku menghala ke jalan yang berbeza. Tugas merawat bukan yang itu sahaja. Aku bersyukur ramai teman teman sejawat yang mampu, masih meneruskan perjuangan merawat dan membantu pesakit yang memerlukan, di klinik kesihatan dan hospital. 
Aku di cabang yang berbeza. Di mana aku selesa meluangkan masa bersama pesakit, memikirkan penyelesaian masalah kepada setiap seorang dari mereka. Membantu dari dasar. Berkongsi tanpa tekanan. Melihat dengan mata hati.
Aku lebih bahagia begini. Bukan seorang yang cemerlang di atas kertas, bukan seorang yang gemilang di dewan bedah. Tetapi seorang yang terbuka dengan ilmu yang baru, seorang yang mendapat kepuasan dengan berkongsi.
Lain orang lain kisah hidupnya. Aku juga begitu.
Ada masa aku tersungkur, dalam kebodohan sendiri.
Sampai sekarang masih segar setiap luka dan parut akibat kelalaian yang banyak itu.
Kini aku lebih matang.
Aku bersedia menghadapi, rintangan, ribut dan petir, dengan harapan ada pelangi di hujung sana. 
Tak usah berlumba dengan orang lain, berlumbalah dengan diri sendiri.
Berusahalah untuk menjadi diri anda, yang lebih baik setiap hari.
Dr. Aimi binti Jaafar
Klinik Taqwa Bangi
016-289 4717

PLANTAR FASCIITIS

Pernah tak anda bangun pagi, tapak kaki rasa sakit sangat untuk beberapa langkah pertama? Itu adalah salah satu tanda yang sering dialam...