Wednesday, April 29, 2020

BENGKAK SUSU



Ramai yang membicarakan tentang sakitnya bersalin, namun tak ramai yang bercerita mengenai perjuangan yang berterusan setelah itu.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Luqman 31:14)

Dalam Al Quran sebenarnya telah Allah s.w.t sebutkan, mengenai perjuangan dari mengandung, sehingga akhir penyusuan, dalam anggaran 2 tahun setiap anak. Oleh sebab itu juga kenapa kita wajib berbuat baik kepada ibu bapa kita.

Namun saya ingin bercerita mengenai sakit yang dihadapi dalam lebih kurang 1 minggu pertama setelah melahirkan. Rata-rata ibu akan mengalami sakit ini, iaitu sakit bengkak susu.


Pada awal usia si bayi, susu ibu yang diterima terus adalah susu kolustrum. Iaitu susu yang pekat, paling tinggi nutrisi dan pertahanan imun. Setelah beberapa hari, dengan stimulasi yang berterusan dari bayi, susu ibu akan mula banyak. Harus diingat, bahawa bengkak susu adalah normal. Namun begitu, cara tangani bengkak susu yang betul adalah sangat penting untuk mengelakkan masalah yang lebih serius seperti abses, depression, dan kegagalan penyusuan badan.

1. Tuam
Tuam dengan air sejuk boleh membantu kurangkan sakit.
Tuam dengan air panas pula akan bantu untuk melancarkan aliran susu dan darah.
Boleh dilakukan secara selang seli mengikut keadaan. Namun digalakkan untuk lakukan tuam panas sebelum urutan / penyusuan. Dan tuam dengan air sejuk setelah penyusuan.

2. Urutan
Sewaktu payudara membengkak, akan dapat dirasa juga gumpalan dan benjolan pada payudara.
Letak minyak, dan lakukan urutan untuk pecahkan benjolan ini. Lakukanlah urutan berpusat pada benjolan, sehingga benjolan semakin kecil, dan seterusnya tekanan diturunkan ke arah puting. Lakukan urutan ini pada setiap benjolan yang dapat dirasakan pada payudara.
Boleh dapatkan khidmat urutan laktasi sekiranya ada di tempat anda.

3. Perahan
Seeloknya lakukan perahan menggunakan tangan (marmet), berbanding perahan dengan pam. Perahan dengan tangan boleh dilakukan bersamaan dengan urutan. Tidak perlu perah sehingga payudara kosong, hanya sehingga payudara kurang tegang.

Penggunaan pam boleh menyebabkan overstimulation dan oversupply pada payudara yang menyebabkan penghasilan susu berterusan banyak.

4. Berikan susu pada bayi mengikut kadar keperluannya (on demand)
Badan dan hormon ibu sedang belajar berapa keperluan bayi, susu akan dihasilkan mengikut demand. Sekiranya ibu berhenti menyusukan, susu akan turut berhenti.

5. Mandi air panas
Selain bantu melancarkan aliran susu, ini juga boleh bantu ibu lebih relax dan kurang rasa stress. Kawalan emosi dan stress ibu adalah sangat penting.

6. Hisapan bayi yang optimal
Pastikan juga hisapan anak adalah efektif dan efisien untuk mengelakkan payudara tidak kosong seperti yang dikehendaki. Boleh dapatkan khidmat kaunselor laktasi untuk kenalpasti keadaan ini.
Selalunya setelah 2 – 3 hari, bengkak susu akan reda, dan penghasilan susu akan terhasil mengikut keperluan (demand – supply).

Sekiranya ada bahagian yang mulai merah, sakit, dan ibu mulai demam, jumpalah doktor dengan segera. Mungkin ada jangkitan yang memerlukan penggunaan ubat ubatan.

Penyusuan adalah sambungan kepada episode perjuangan sebelumnya. Jalan dan kisahnya tidak sama buat semua, namun setiap ibu yang melahirkan, ataupun tidak (induced lactation), berpeluang untuk melaluinya. Bengkak susu boleh menjadi permulaan yang ngeri buat sesetengah ibu, jadi saya kongsikan tips ini dengan harapan ibu-ibu dapat mengatasi rintangan yang ini, ke muka surat seterusnya.

Semoga dipermudahkan perjalanan penyusuan buat ibu-ibu sekalian

Dr Aimi Jaafar
Pegawai perubatan
Kaunselor laktasi

No comments:

Post a Comment

PLANTAR FASCIITIS

Pernah tak anda bangun pagi, tapak kaki rasa sakit sangat untuk beberapa langkah pertama? Itu adalah salah satu tanda yang sering dialam...