Thursday, August 10, 2017

INTUSSUSCEPTION PADA KANAK-KANAK


INTUSSUSCEPTION PADA KANAK-KANAK



Apa itu? Nak sebut pun berbelit lidah. Biasa di kalangan para doktor dan petugas kesihatan, hanya akan disebut ‘intus’.
Ia adalah satu masalah usus tersumbat (intestinal obstruction) yang paling tinggi terjadi pada anak-anak dalam lingkungan usia 5 bulan hingga 3 tahun. 2/3 kanak-kanak yang mengalami masalah ini adalah lebih muda dari 1 tahun, selalunya dalam lingkungan usia 5 -10 bulan.
Apakah itu intussusception?
Ia adalah keadaan di mana sebahagian dari usus kecil, termasuk ke dalam lumen usus yang sama (invagination), sehingga menyebabkan usus tersumbat. Penanganan awal penting untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Jika tidak ada rawatan dalam masa 2-5 hari, boleh menyebabkan kematian.
Gejala.
Kanak-kanak yang mengalami masalah ini selalunya pernah mempunyai sejarah jangkitan kuman di bahagian atas pernafasan (upper respiratory tract infection). Gejalanya termasuk;
- Muntah. Pada awalnya muntah boleh seperti muntah biasa. Tapi apabila usus mulai tersumbat, muntah boleh menjadi hijau.
- Sakit perut. Sakit perut untuk masalah intus adalah sangat spesifik dan penting untuk doktor membuat diagnosa. Sakitnya memulas, kuat dan intermittent (datang dan pergi dalam masa yang lebih kurang sama). Biasanya anak anak akan bermain, menangis, bermain balik dan menangis balik. Cycle ini akan berulang ulang (bersamaan dengan pergerakan usus iaitu peristalsis). Jika anak sudah boleh bercakap, mungkin anak akan mengadu sakit. Untuk anak lebih kecil, lebih kepada menangis dan merengek.
- Buang air besar berdarah dan berlendir. Pada fasa lebih awal, anak boleh dapat cirit dahulu. Keadaan apabila ada darah dan lendir dalam najis, menunjukkan ianya sudah agak lama.
- Penat dan letih (lethargy). Sekiranya keadaan tidak diperasan lebih awal, ia akan menyebabkan anak menjadi lemah. Kerana makanan dan air tidak dapat diproses oleh badan.
- Ketulan di perut yang boleh dirasa. Ketulan memanjang seperti sausage di bahagian kanan tengah perut, (Dance sign). Tidak harus, namun boleh dijumpai.
- Demam.
Diagnosis.
Doktor mungkin akan melakukan xray perut. Dari xray boleh mendapat clue masalah, seperti usus tersumbat boleh dilihat daripada xray. Namun untuk confirm kan diagnosis ini, harus dilakukan pemeriksaan ultrasound (pseudokidney sign).
Rawatan.
Setelah confirm ianya adalah intus, dan anak dalam keadaan stabil. Doktor boleh melakukan prosedur untuk mengeluarkan usus yang termasuk tadi. Prosedur ini diberi nama hydrostatic reduction. Anak akan diberikan ubat untuk mengantuk dan relax, doktor akan memasukkan air dengan laju dari dubur. Pressure yang kuat ini akan menolak usus supaya keluar dari sumbatan, dan usus akan kembali normal. Namun ada syarat-syarat untuk procedure ini. Antaranya adalah, ianya akan dibuat 3 kali sahaja, sekiranya masih gagal, pembedahan harus dilakukan.
Apa yang menyebabkan keadaan ini?
Keadaan paling biasa dialami oleh anak anak ialah idiopathic intussusception. Teori yang boleh menerangkan keadaan ini ialah ia disebabkan Peyer patch yang membesar. Hipotesa ini disokong oleh 3 pemerhatian; 1. Selalu keadaan ini dimulai dengan jangkitan kuman di bahagian pernafasan atas, 2. Bahagian ileiocolic mempunyai konsentrasi kelenjar limpa (lymph node) yang paling banyak di mesentery , dan 3. Pembesaran kelenjar limpa selalu dijumpai pada pesakit yang memerlukan pembedahan. Sama ada pembesaran Peyer patch menyebabkan keadaan ini atau disebabkan oleh keadaan ini masih tidak jelas.
Selain itu ada penyebab- penyebab yang lain yang anda boleh kaji dan cari informasi sendiri. (eg; cystic fibrosis, and intestinal polyps).
--------------------------------------
Sebenarnya tulisan kali ini adalah sempena peringatan atas pengalaman saya sendiri 2 tahun lepas. 
Saya sendiri mempunyai pengalaman peribadi di mana anak sulung saya mengalami Intus sewaktu usianya 1 tahun 7 bulan. Sewaktu itu saya bekerja di bahagian pembedahan, dan dapat kesan gejalanya pada peringkat awal. Gejala yang membuatkan saya tergerak untuk melakukan pemeriksaan ialah muntah, dan sakit perut intermittent. Waktu itu anak saya belum pandai bercakap, tapi dia akan peluk saya sambil merengkokkan badannya dan merengek. Lepas tu dia akan bermain, dan kembali memeluk saya. Mula mula macam tak percaya, tapi apabila keadaan ini jadi beberapa kali, saya rasa memang ada masalah.
Pemeriksaan dengan ultrasound menunjukkan pseudokidney sign, dan prosedur reduction dilakukan dengan cepat. Alhamdullilah setelah melalui prosedur tersebut, anak saya kembali sihat. Namun harus berjaga jaga juga kerana keadaan ini boleh terjadi lagi pada anak yang sama.
Kesimpulannya,
- Perhatikan dengan teliti sekiranya anak anda sakit perut, tidak selera makan, dan muntah.
- Berikan maklumat yang tepat pada doktor, seperti sakit perutnya datang bila, muntah bagaimana, najis warna apa. Boleh ambil gambar atau bawa pampers sekali untuk doktor tengok.
- Sekiranya anak anda ada batuk dan selsema pun harus ingat bila. Kalau boleh pastikan sistem pertahanan badan anak cukup kuat supaya boleh melawan kuman secara sepenuhnya.
Semoga dapat sedikit sebanyak berkongsi dengan semua. 
Dr. Aimi Jaafar
Klinik Taqwa Bangi
011-55167293 / 016-289 4717 

No comments:

Post a Comment

PLANTAR FASCIITIS

Pernah tak anda bangun pagi, tapak kaki rasa sakit sangat untuk beberapa langkah pertama? Itu adalah salah satu tanda yang sering dialam...