Saturday, September 28, 2019

BAYI PADA USIA 1 BULAN



1 bulan, tempoh yang kelihatan sekejap pada kita dengan aktiviti rutin seharian yang biasa. Tetapi sangatlah mencabar dan penuh liku buat ibu yang baru melahirkan.

Bagaimana pula dengan si bayi? Sudah pasti ianya adalah satu perubahan yang sangat besar. Daripada kehidupan dalam rahim, berubah 100% ke dunia nyata. Keadaan sekeliling yang sebelum ini kecil dan terasa selamat, tiba-tiba meluas dan meragukan. Suara yang dahulu kedengaran sayup, semakin kuat. Cahaya yang dulu samar, kini menyilaukan. Dahulu nyenyak dalam kehangatan rahim ibu, sekarang menggigil ditiup dinginnya udara.

Namun begitu, tumbesaran dan perkembangan bayi dalam tempoh 1 bulan sebenarnya agak pesat! 

Mari kita lihat apa yang sepatutnya dicapai oleh bayi 1 bulan.

1. Berat dan tinggi
Sekiranya berat bayi anda turun 10% dari berat lahir pada 10 hari pertama, ia sebenarnya masih normal. Namun sekiranya berat bayi naik, dan terus naik, ia juga adalah normal, dan sangat memberangsangkan. Berat bayi untuk 1 bulan pertama seharusnya naik sekurang-kurangnya 400g daripada berat lahir.
Tinggi bayi pula akan meningkat antara 2-2.5cm daripada tinggi lahir.

2. Penglihatan
Dalam usia 1 bulan, penglihatan bayi sudah semakin jelas. Bayi biasanya akan mula focus pada wajah dalam jarak yang dekat. Ibu yang menyusukan anak boleh senyum dan bercakap dengan bayi, lihatlah riak wajah bayi yang mendengar dan usahanya untuk focus. Bayi mungkin mula mengikut wajah anda sekiranya anda bergerak sewaktu mata bayi sedang focus pada anda. Selain itu bayi selalunya akan terpesona dengan cahaya, itu kerana cahaya yang paling jelas dan terang di matanya buat masa sekarang.

3. Pergerakan dan otot yang semakin kuat
Dalam usia ini, bayi sudah lebih kuat menggerakkan ototnya sendiri. Boleh lihat pergerakan kaki yang lebih terkawal dan lehernya yang kuat. Sekiranya anda letakkan bayi dalam posisi meniarap, bayi akan cuba mengangkat lehernya. Tangan bayi juga akan lebih banyak digerakkan ke atas dan pelbagai arah, berbanding sewaktu baru lahir di mana tangannya lebih banyak diposisikan dekat pada wajah / badan.

4. Gaya menangis
Bayi menangis dengan sebab yang berbeza-beza. Lapar, mengantuk, lampin basah, kembung; semuanya bayi akan menangis, namun sebenarnya tangisan setiap satu adalah berbeza. Anda mungkin sudah boleh bezakan gaya tangisannya dalam usia ini.

5. Senyuman
Bayi sudah mengenali suara ibu, bapa, adik beradik, dan keluarganya sejak dari dalam perut lagi. Anda boleh bercakap dan agah bayi, dan perhatikan respon darinya. Secara perlahan-lahan bayi akan mula memberikan respon seperti membalas senyuman dan ketawa. Ini selalunya dalam usia bayi 6 minggu ke atas.

Masalah yang sering dihadapi pula;

1. Penyusuan
Sekiranya ada masalah dalam tumbesaran bayi, haruslah diperiksa keberkesanan penyusuan ibu. Lekapan dan posisi penyusan yang betul seharusnya diajar pada setiap ibu yang menyusu. Bayi juga harus diperiksa untuk melihat sekiranya ada masalah dari bayi sendiri yang menyebabkan dirinya tidak boleh menyusu dengan optimal, antaranya adalah ‘tongue tie’.

Sekiranya bayi menyusu botol, haruslah dibimbing cara penyediaan susu yang betul dan kebersihan yang perlu dititikberatkan.

2. Pembuangan air besar
Perhatikan warna, konsistensi dan kekerapan bayi buang air besar. Informasi ini penting pada doktor untuk menentukan sama ada bayi dapat susu yang cukup, ataupun terdapat masalah lain seperti prolonged jaundice disebabkan masalah hati.

3. Kembung / Muntah
Bayi baru lahir selalu mengalami masalah kembung terutamanya waktu petang menjelang malam (Maghrib). Sekiranya anak muntah yang terlalu banyak selepas menyusu, boleh jadi juga disebabkan oleh kembung tadi. Keadaan perut yang tidak selesa menyebabkan anak berterusan ingin menyusu sehingga menyebabkan ‘overfeeding’, akhirnya membuatkan anak muntah dengan banyak.

Untuk kurangkan kembung, boleh lakukan teknik urutan yang betul, pastikan bayi disendawakan selepas menyusu, tidurkan bayi dalam posisi meniarap (dengan pengawasan), dan ibu juga boleh perhatikan sekiranya bayi sensitive dengan pemakanan dari ibu sendiri.

4. Kuning
Prolonged jaundice adalah kuning setelah usia bayi 2 minggu. Biasanya doktor akan mencadangkan ibu bapa supaya anak dilakukan pemeriksaan darah dan air kencing untuk memastikan bayi tidak mempunyai masalah serious seperti masalah hati, hormone, jantung, jangkitan kuman, dan lain-lain.

Namun sekiranya semua adalah normal, jangan risau, selalunya kuning adalah disebabkan susu ibu itu sendiri (sekiranya anak menyusu badan). Tak perlu hentikan susu ibu, teruskan lah penyusuan seperti biasa. Biasanya pada usia 1 bulan kuning akan semakin menghilang. Ada yang ambil masa sehingga dekat 2 bulan sehingga mata putih bayi tidak lagi kuning. Itu adalah normal dan tak perlu tukar pada susu formula.

5. Bengkak BCG
Tempat suntikan BCG biasanya aktif dalam tempoh 1 bulan ini. Jangan risau, ia tidak ada jangkitan. Merah, panas dan sedikit kuning itu adalah tanda yang suntikan itu ‘jadi’. Namun sekiranya ada benjolan pada ketiak bayi pada sebelah kiri, dan tempat suntikan kelihatan bernanah, serta bayi ada demam, bawa lah ke doktor untuk diperiksa.

6. Kulit
Perhatikan sekiranya bayi mempunyai masalah kulit kering, merah atau mengelupas dalam tempoh ini. Pakailah produk kulit yang lembut dan bebas bahan kimia buat kulit bayi.

Apa yang anda patut buat;

1. Peluk
Bayi sukakan pelukan dan kehangatan dari badan. Dan untuk bapa pula, masa inilah anda digalakkan peluk bayi anda. Si ibu sudah 9 bulan membawa bayi ke sana ke mari. Pelukan akan berikan bayi rasa selamat dan akan membantu emosi dan mental bayi untuk sihat dan positif. InsyaAllah bayi akan menjadi lebih yakin dan membina kepercayaan dirinya untuk masa hadapan.

2. Bercakap
Luangkan masa untuk bercakap dengan bayi. Ini akan merangsang perkembangan otaknya.

3. Urut
Anda boleh ambil masa sedikit selepas bayi mandi untuk mengurutnya. Picit lembut pada tangan, kaki, belakang, telinga, dan perut bayi. Sentuhan anda adalah terapi buat bayi. selain itu ia boleh membantu menguatkan otot bayi.

4.     Ambil gambar dan video
Kerana waktu dan detik ini tidak akan berulang kembali!

Berikut adalah antara perkara penting buat bayi 1 bulan anda. 

TAHNIAH~ BAYI ANDA SUDAH SATU BULAN



No comments:

Post a Comment

PLANTAR FASCIITIS

Pernah tak anda bangun pagi, tapak kaki rasa sakit sangat untuk beberapa langkah pertama? Itu adalah salah satu tanda yang sering dialam...